Friday 9 September 2011

Hatiku agak tersentuh...

hati aku cukup tersentuh bila tengok kelakuan dy.. aku xtau kenapa..
maybe aku ade salah dengan dy, tapi ape? 
dah lama benda ni ade kat kepala aku, aku try tanye dy, tp dy masih jugak mcm 2..xnak cakap ape2..
aku salah ape ek dengan dy?
kenapa cara dy layan aku xmacam dulu?
no matter what happen, dy tetap kawan baik aku..
jatuh bangun dy, baik buruk dy, aku tetap ade kat sisi dy..
aku nak sentiase ade dengan dy even ape pun berlaku kat dy..
xkan aku nak tinggalkan dy bile dy ade masalah? 
oh xkan2..
ape2 pun, aku cume harap hubungan kitorang akan pulih macam dulu..happening macam dulu2..
and now, aku ngah plan something, aku nak penuhi harapan and impian dy..
Aku plak yang excited nak tunggu saat 2 padahal ni impian dy..huhu..
ape2 pun, aku cume nak tengok dy happy n ketawa je time 2..
asalkan dy happy, 2 dah cukup utk aku..=)

Tuesday 6 September 2011

Kuatkan Hati Ini Wahai Tuhan..


Setiap pagi. Saat mata mula celik. Hanya senyum terukir. Kadang alpa mengucap hamdalah. Astaghfirullahalazim. Itu aku. Yang selalu lupa dan leka. Bukan semua. Harapnya.
Melihat mereka yang jauh di perantauan, kini sangat tabah menyusuri sebuah perjalanan baru di bumi asing. Mereka yang pernah menjadi sahabat dan akan selalu menjadi teman sepanjang perjalanan ini.
Melihat abang dan kakak yang pernah aku kenal suatu masa dahulu di medan dakwah. Kini sudah punya keluarga, sudah punya kerjaya dan berjaya. Bahagia. Melihat mereka, yang akan melangkah menuju dunia baru. Teruja. Aku mahu jadi seperti mereka. Yang gigih membawa nama Islam. Tidak kira tempat, masa dan waktu. Yang tidak pernah meletakkan definisi 'jemu' dalam ensiklopedia mereka.
Aku kagum dan bangga pada mereka. Sedang aku? Masih merangkak menuju dan mencari tempat ini seharusnya. Menjejak medan di mana harus aku tapaki. Aku punya azam. Yang utuh. Di sini. Dalam lubuk hati yang tidak kelihatan oleh siapa pun.
Dari suatu sudut, aku melihat mereka. Yang dulunya pernah hebat suatu ketika. Bicara tentang Islam dengan penuh gah. Bisa membisukan suara-suara manusia. Memekakkan telinga-telinga umat dengan kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasulullah.
Tiba-tiba mereka hilang. Hanya tinggal bayang. Dan debu yang mengekori. Aku hanya mampu memerhati dari kejauhan. Mereka, rupanya lumpuh di pertengahan. Ke mana menghilang? Di mana mencari? Tiadakah jalan untuk ketemu dakwah itu? Perasaan ini, hampa dan sedih. Pada mereka yang dahulunya penuh dengan kobar dan semangat. Kini tidak lagi.
Bagaimana aku nanti? Adakah suatu masa nanti aku akan seperti mereka? Ketakutan pada diri. Lenyap hati, hilang jiwa dan mungkin roh ini sesat untuk dakwah pada Islam. Bagaimana aku seandainya itu yang tertulis dalam kitab takdir diri ini?
Tidak. Aku tidak mahu itu jadi seperti mereka. Aku masih mahu berada di sini. Untuk Islam. Untuk dakwah. Dan untuk ukhuwah.
Ya Rabb, izinkan aku menjauh dari takdir itu. Kerana aku tidak mahu selamanya roh ini tersesat.
Tuhan Yang Maha Mendengar,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui,
Tegarkan jiwa ini untuk berada pada jalan-Mu untuk selamanya,
Jangan biar diri ini tandus dimamah kefuturan,
Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu,
Kuatkan hati ini wahai Tuhan,
Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau.

Aku Sedang Menanti Dia....

Seorang lelaki yang akan bergelar suami
Seorang mukmin yang merindui syahid di jalan ALLAH
Seorang hambaNYA yang senantiasa zikrullah

Dia seorang lelaki yang tegas dan berani
Dia tidak pernah takut untuk berkata benar
Dia tidak pernah gentar melawan nafsu yang ingin menguasai diri
Dia sentiasa mengajak aku berjuang berjihad fisabilillah

Dia selalu menghiburkan aku
Dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran
Dengan zikir-zikir munajat
Dengan surah-surah rindu yang dihafaznya

Ketika aku leka diulik mimpi indah duniawi
Dia menasihati ku supaya mengingati mati
Ketika aku sedang asyik terpesona dengan buaian cinta dunia
Dia menyedarkan aku betapa lazatnya lagi pesona cinta Yang Maha Esa

Dia memang sentiasa kelihatan penat
Matanya penat kerana membaca
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Badannya letih kerana bermunajat di malam hari

Dia sentiasa mengingati mati
Baginya,dunia ini adalah pentas lakonan semata-mata
Kita hambaNYA adalah pelakon
Hasil keputusan lakonan kita akan diputuskan di padang Mahsyar nanti

Dia sentiasa menjaga matanya dari berbelanja perkara-perkara maksiat
Dia sentiasa mengajak aku mendalami ajaran Islam
Dia seorang yang penyayang dan taat akan kedua ibu bapa
Dia juga sentiasa berbakti untuk keluarga

Dia sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan
Baginya, dugaan-dugaan itulah yang akan menjahit semula
Sejadah imannya yang terkoyak
Lantaran mungkin kerana kekhilafannya sendiri

Dia sentiasa menjaga solatnya kerana itulah maruah dirinya
Dia sentiasa bersedia menjadi imam dan pemimpin keluarga
Dia tidak pernah berasa malu mempertahankan agama IslamNYA
Kerana Islam adalah addin ALLAH yang sebenar-benarnya

Dia sentiasa ingin mencontohi sifat-sifat mulia Rasullullah S.A.W.
Dia juga sentiasa berusaha mencintai kekasih agungnya
Kekasih sejatinya dan kekal abadi
Iaitu ALLAHURABBI

Dia selalu berdoa dan mengimpikan syurga
Dia ingin mengajak aku ke sana sekali
Kerana, di situlah tempat pertama wujudnya cinta
Dia ingin bawa aku ke syurga yang abadi dan hakiki

Aku mencintai dia kerana agamanya dan kerana cintanya kepada Maha Pencipta
Andai dia hilangkan cintanya, maka hilanglah cintaku pada dia
Cinta dia terhadap Maha Pencipta mendekatkan aku padaNYA
Cinta Illahi jugalah yang menyebabkan aku memilih dia

Siapakah dia..???Aku juga tidak mengetahui siapakah dia jodoh ku
Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui segala sesuatu
Doaku, semoga dia tercipta untuk ku
Semoga aku bertemu jodoh dengan dia
Kerana..
Dia pilihan ku..




Monday 5 September 2011

Apakah Cinta Itu Sebenarnya Untuk Kita?

Saban hari kita jumpa dengan orang yang berbeza. Berbeza sikap, berbeza perwatakan dan berbeza jantina. Saban hari itulah setiap perasaan yang berbeza wujud menerjah dalam diri. Ada rasa suka, gembira yang teramat, ada rasa benci, kadang-kadang timbul perasaan meluat. Terdapat juga rasa simpati ditaburi sedikit kasihan, dan tidak kurang pula datangnya cinta pandang pertama.
Saat melihat dirinya, hati jadi tenteram, aman dan tenang. Ibarat terbang di awang-awangan. Bagai cerita cinta dalam kisah dongengan. Tetapi, apakah cinta itu sebenarnya untuk kita?
Kisah Cinta Pertama :
Uda dan Dara bercinta berjanji setia sehidup semati. Sampai masa, hanya Allah yang tahu. Cinta di pertengahan. Dara bertemu jodoh dengan insan lain. Sedang Uda berkelana sendirian tanpa arah tujuan.
Kisah Cinta Kedua :
Uda dan Dara bahagia membina mahligai indah atas dasar cinta, kasih dan sayang. Beberapa tahun berlalu, Uda dan Dara mula tidak sependapat dan akhirnya membawa haluan sendiri. Masing-masing bagai orang asing yang datang dari planet lain.
Apakah cinta itu sebenarnya untuk kita?
Cinta yang tiada bermatlamat. Cinta yang tidak pernah ditarbiyah. Cinta yang tidak disulam dengan niat lillahi ta'ala . Tidak.
Cinta itu sebenarnya untuk kita jika Cinta itu ditempatkan dalam tempat yang sememangnya menjadi haknya. Cinta yang ditarbiyah itulah sebenarnya cinta untuk kita.  Cinta yang setiap malamnya dihujani dengan air mata. Cinta yang setiap paginya dibasahi dengan embun zikrullah. Cinta yang setiap senjanya didendangkan dengan kalamullah. Dan cinta sebelum malamnya berlabuh dinodai dengan muhasabah keinsafan.
Itulah yang dipanggil sebenar-benar CINTA. CINTA pada Sang Pencipta.

Jangan Bertasbihkan Cinta..!!

Isteri disimbah asid! Suami yang dikahwini atas dasar cinta rupa-rupanya pendera. Ini cerita lama dalam versi baru (dulu ada cerita suami disimbah asid). Semua ini mengingatkan saya pada perbualan dengan seorang wanita suatu ketika dahulu.
"Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi begini. Sepanjang tiga tahun kami bercinta, tidak pula dia menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia panas baran. Semuanya baik dan lembut belaka. Tapi tak sampai lima bulan setelah berkahwin, baru saya tahu dia begitu panas baran orangnya," luah seorang isteri.
"Awak mungkin bercinta, tetapi tak kenal..." ujar saya.
"Tiga tahun bercinta masih tak kenal? Mustahil," balasnya.
"Kenal itu dengan akal dan hati. Mungkin semasa tiga tahun awak berdua bercinta... kurang guna akan dan hati, hanya guna emosi dan nafsu. "
"Akibatnya ini?"
"Ya, akibatnya ini, bercinta tanpa kenal hati budi."
Begitulah antara dialog yang pernah berlaku antara saya dengan seorang isteri yang didera suaminya. Akibat cinta tanpa kenal dia menderita. Secara tabiinya, kita perlu kenal baru cinta tetapi kini sudah ramai yang cinta baru kenal. Akibatnya timbullah penyesalan yang tidak sudah-sudah. Akibat salah pilih, suami atau isteri yang disangka boleh memberi bahagia, rupa-rupanya punca derita!  
Tidak mengapa kalau kita berkenal dahulu terus berkahwin dan kemudian cinta. Seperti Siti Khadijah yang kenal kebaikan Rasulullah saw melalui orang kepercayaannya Maisarah dahulu, terus meminang Rasulullah saw, berkahwin dan kemudian baru bercinta. Untuk kenal orang yang baik, perlulah menerusi orang yang baik. Hanya orang baik yang mengenal orang baik yang lain, seperti mana hanya jauhari mengenal manikam.
Tidak mengapa sekiranya perkahwinan tidak dimulakan oleh satu percintaan tetapi ia mesti didahului oleh satu perkenalan. Apa yang perlu kita kenal? Tidak lain tidak bukan, yang paling kita mesti kenal keseriusannya dalam beragama. Bila agama kukuh, ertinya cintakan Allah dalam diri seseorang juga kukuh. Itulah modal untuk membina kebahagiaan dalam rumah tangga.
Cinta Allah itu adalah sumber untuk mencintai segala dan semua. Iman kepada Allah dan kasih-sayang sesama manusia sangat erat keterkaitannya. Ramai pasangan suami isteri yang terlibat dengan perkahwinan yang tidak dimulakan dengan cinta, berjaya juga membina kebahagiaan rumah tangga kerana kekukuhan keduanya mencintai agama. Ini kerana perkahwinan itu sendiri telah memulakan cinta suci mereka.
Cinta itu bukan tujuan, cinta hanya jalan. Bukan hanya ada satu jalan untuk mencapai tujuan... ada berbagai jalan. Hakikat ini bukan menafikan keperluan cinta untuk membina kebahagiaan rumah tangga, tetapi cinta itu bukan yang pertama dan paling utama untuk mencapai rumah tangga yang bahagia.
Menurut ajaran Islam, ada elemen-elemen yang lebih utama daripada cinta yang perlu dititik-beratkan sebelum, semasa dan sepanjang perkahwinan. Perkara-perkara utama ini semuanya dituntut oleh Allah untuk disempurnakan bagi memastikan cinta, kasih-sayang, tanggung jawab, peranan dan tugasan rumah tangga itu sentiasa terbina di atas tapak iman.
Diantara prinsip-prinsip itu ialah niat, matlamat, perlaksanaan, modus operandi dan natijah perkahwinan itu mestilah selaras dengan kehendak Allah. Oleh itu apabila rumah-tangga bergoncang, telitilah semula niat berkahwin dahulu. Apakah masih kerana Allah? Atau sudah tersasar tanpa sedar? Akibat hebatnya cabaran, masalah dan godaan yang telah melanda alam rumah tangga solat lima waktu telah terabai, pembaziran berleluasa, hiburan telah melampau dan pelbagai suruhan dan tegahan Allah sudah dipinggirkan?
Kalau demikian, jangan tunggu lama-lama, kembalilah ke pangkal jalan, katakana pada diri,"wahai diri, kau berkahwin kerana Allah..." Insya-Allah, "talian hayat" perkahwinan kita akan tersambung semula dengan Allah. Hukum-hakam Allah akan berdaulat semula. Insya-Allah, ketenangan akan menjelma semula.
Selama mana prinsip-prinsip itu dipatuhi, selagi itulah Allah menjamin cinta di antara pasangan suami isteri itu pasti tumbuh, subur dan berbunga sekalipun mereka tidak pernah bercinta sebelum berkahwin. Dan bagi yang telah berkahwin pula (tidak kira berapa lama), syariat Allah ini jika dijadikan rujukan bersama antara suami isteri, insya-Allah rumah tangga akan kembali tenang walaupun pasti ada pergolakan. Hati-hati yang mengingati yang SATU akan mudah bersatu!
Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai berkahwin atas pilihan ibu bapa (yang mengenal bakal menantunya) dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Tradisi itu berjalan dengan baik dan teratur kerana pada waktu itu anak-anak sudah dididik dengan asas agama dan akhlak yang teguh serta patuh kepada ibu bapa. Pada waktu itu anak-anak yang baik akan mematuhi perintah ibu-bapa yang baik yang memilih orang yang baik untuk menjadi suami atau isteri anak mereka. Sementara ibu bapa pula memang sedia mewarisi sifat-sifat mulia daripada generasi sebelumnya yang juga mementingkan kepentingan agama dan akhlak.
Kita akan dibantu oleh niat yang tulus sebelum berkahwin dahulu. Jika tulus pasti lurus walaupun kekadang bengkak-bengkok juga di pertengahannya. Tetapi jika awal-awal sudah bengkok, rumah-tangga akan semakin tersasar dan sukar sekali mencari jalan kembali.
Oleh kerana itu, semasa memilih calon suami atau isteri mestilah berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw melalui sabdanya, "Dikahwini wanita itu atas empat perkara: harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan."
Hendak membuat pilihan kita mesti kenal bagaimana tahap beragamanya, bila sudah kenal, berkahwinlah. Insya-Allah, nanti pasti ada cinta. Bukan cinta, kemudian berkahwin selepas itu baru kenal...
Eh, ini pelik? Tidak. Ia praktikal dan realistik dulu, kini dan akan datang. Lihat sahaja gambaran kenal baru cinta dalam filem "Bila Cinta Bertasbih". Jika ia mampu digambarkan melalui filem, ia mampu juga mampu direalisasikan dalam kehidupan. Dalam filem itu jelas digambarkan bagaimana orang yang baik melamar orang yang baik untuk orang yang baik. Sungguh indah bila cinta bertasbih (memuji Allah). Yakni bila cinta tunduk kepada kehendak Allah. Tetapi kini terbalik, masyarakat begitu hodoh jadinya apabila manusia bertasbihkan cinta – kehendak Allah tunduk kepada cinta!
Dalam masyarakat yang sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi, perkahwinan melalui'orang perantaraan' (match maker) yang juga dipercayai kesolehannya akan mudah dilaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.
Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang dibolehkan dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya seseorang dibolehkan melihat rupa calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang keperibadian dan lain-lain latar belakang calon. Namun fokusnya tetap "mengenal" agama bakal calon.
Itu semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah – sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya, tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan "maklumat" tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan yang melampaui batas. Nanti bukan maklumat yang dapat, tapi maksiat.
Bayangkan betapa indahnya saat pertemuan dua mempelai yang dipertemukan atas keredaan Allah serta restu ibu bapa dan masyarakatnya. Thrill dan suasana suspens sudah semestinya ada yang mana ini menambahkan lagi keindahan pertemuan pertama.
Dan bagi yang sudah lama berumah tangga tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Justeru dalam perlaksanaan rumah tangga Islam sudah ada tip-tip tertentu yang jika diamalkan akan mengekalkan suasana kemanisannya.
Antaranya, isteri sentiasa mengekalkan perasaan malu di hadapan suami, isteri dan suami sentiasa berhias dan memakai haruman, pandangan kasih oleh suami, pandangan cinta oleh isteri, adab serta seni-seni dalam hubungan seks dan lain-lain perkara yang banyak ditulis dalam hadis dan kitab-kitab para ulama muktabar.
Cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan dan 'lesen' seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.
Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.
Apabila seseorang mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari ini terutamanya di kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.
Malangnya cinta yang diburu adalah cinta palsu. Yang mana keindahannya sementara dan menipu. Seseorang dikira sudah bernasib baik jika cinta itu sempat dibawa menjejaki gerbang perkahwinan walaupun kemudiannya tidak indah dan akhirnya berpisah. Namun kajian menunjukkan cinta yang kotor patah di tengah jalan. Tidak sempat bermahtangga cinta telah berkecai.
Dan bagi yang sempat berumah tangga ramai pasangan yang bercerai-berai walaupun mereka telah melalui saat-saat indah di alam percintaan. Tetapi yang paling ramai ialah mereka yang hanya mampu mempertahankan perkahwinan tetapi gagal mengekalkan keindahan cinta di dalamnya. Mereka yang kecewa ini kerap mengungkapkan, perkahwinan adalah pusara percintaan!
Terbukti tidak ada keindahan dengan mengetepikan Tuhan!
Biodata Kolumnis
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.